PENJAWAT AWAM PERLU BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN ELAK BANKRAP - CUEPACS

PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini, terutama mereka yang berpendapatan sederhana iaitu RM3,500 ke bawah, digesa supaya lebih bijak dalam mengurus kewangan masing-masing agar tidak dibebani hutang, seterusnya diisytihar bankrap.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata pendedahan bahawa seramai 1,086 penjawat kerajaan diisytihar bankrap dianggap sebagai angka yang tinggi dan tidak sepatutnya berlaku.

"Apabila seorang penjawat awam diisytihar bankrap, dia akan ditamatkan perkhidmatan dan kesemua faedah termasuk pencen akan ditarik balik.

"Jadi kita nasihatkan kepada penjawat awam agar lihat dulu pendapatan bulanan dan kena berbelanja atas kebijaksanaan. Janganlah sampai menghuru-harakan keluarga apabila diisytihar bankrap nanti," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Cuepacs di Jabatan Perdana Menteri di sini Rabu oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Omar berkata pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai penjawat awam.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pengisytiharan bankrap itu disebabkan penjawat awam menjadi penjamin kepada pihak lain yang tidak mampu melangsaikan pinjaman.

Justeru, beliau berkata taklimat pada hari ini diharap dapat memberi lebih penerangan dan kesedaran kepada penjawat awam mengenai kebankrapan agar perkara itu dapat dielakkan pada masa hadapan.

Daripada segi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 pula, Omar berkata ia untuk memaklumkan penjawat awam bahawa terdapat saluran yang selamat untuk mereka memberi maklumat mengenai sebarang ketirisan dalam perkhidmatan awam.

Ia juga, katanya dijangka dapat mengurangkan sindrom 'surat layang' kerana selain melindungi identiti pelapor, pihak yang melapor juga boleh diambil tindakan sekiranya perkara yang dilapor didapati tidak benar.

Beliau berkata taklimat seperti itu juga akan diadakan di seluruh negara secara berperingkat mengikut zon agar kesemua pemimpin dalam Cuepacs dapat menyertainya dan seterusnya perkara memberi penerangan atau mengadakan seminar untuk memberi penjelasan kepada penjawat awam di bawah seliaan mereka pula.

-- BERNAMA

Comments

Mesin Taipku said…
erm..betol2...fikir dulu sebelum buat..jgn wat dulu sebelum fikir..huhuhu
Mesin Taipku said…
erm..betol2...fikir dulu sebelum buat..jgn wat dulu sebelum fikir..huhuhu
ftdanisha said…
kdg ade sbb nape wt pinjmn...tp ade gk silpnye bile dh bhutang ni..enjoy x ingt..kdr gaji perlu dipetimbangkan jugak
ummi sofiyyah said…
jalan2 sini..dah follow jgk...

Popular posts from this blog

Buah Keduak@Kerdas

Gerai Buah di R&R Tapah..jambu batu,jambu air

Latihan Kebakaran & Kecemasan Bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya