Wednesday, November 07, 2012

# Semasa

Borang Permohonan Bayaran Sagu Hati Bekas Tentera


Bekas tentera tidak perlu menganggotai mana-mana persatuan bagi mendapatkan borang permohonan untuk bayaran sagu hati RM1,000 yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2013. 

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata mereka boleh mendapatkan borang itu terus daripada JHEV atau 82 kem tentera di seluruh negara. 

Zulkiflee berkata beliau mendapat maklumat mengenai beberapa persatuan yang memaksa bekas tentera menyertai mereka jika ingin mendapatkan borang permohonan. 

"Saya memberi amaran supaya persatuan bekas tentera tidak menggunakan cara macam ini untuk mendapatkan ahli," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 16 bekas askar British Malaysia. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sepanjang tiga hari diedarkan, hanya lebih kurang 15 peratus daripada kira-kira 224,000 bekas tentera yang layak menerima sumbangan itu, mengambil borang tersebut. 

"Borang permohonan boleh didapati sehingga hujung bulan ini, dan sama ada layak atau tidak, akan diketahui bulan Disember ini," katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentang Belanjawan 2013 di Parlimen pada September lepas mengumumkan bayaran wang sagu hati sebanyak RM1,000 kepada veteran dan anggota ATM yang tidak mendapat pencen, dengan syarat tidak dikenakan tindakan tatatertib sebelum ini.

No comments: